Feeds:
Posts
Comments

Panggilan ke Padang

“Perumpamaan orang beriman yang berkasih sayang, dan saling rahmat merahmati dan di dalam kemesraan sesama mereka adalah seperti satu tubuh, apabila satu anggota mengadu sakit, maka seluruh tubuh akan turut merasainya dan membantunya dengan berjaga malam dan demam.” (Riwayat Muslim)

Assalamualaikum wbt..

Semoga kalian berada dalam rahmat Allah. Alhamdulillah, selepas tidak berupdate kerana capaian internet yang agak lemah di kawasan aku ini, akhirnya dapat jua berupdate. Tambah lagi hujan yang sering melanda Pantai Timur Malaysia. Dengarnya Kelantan sudah naik air. Moga kawan2ku di sana selamat sejahtera dari segala musibah dan bala.

Alhamdulillah, balik Malaysia, aku agak sibuk sedikit, lebih2 lagi apabila aku dipanggil untuk menyertai misi kemanusiaan di Padang, Indonesia pada 8hb ini. InsyaAllah esok akan bertolak ke KLIA dan berlepas ke Padang. Semoga segala perancangan berjalan lancar hendaknya. Jutaan terima kasih kepada sahabat2 yang memberi sokongan moral, kewangan dan sebagainya.

Ini pengalaman pertama aku ke tempat2 yang ditimpa bencana. Belajar sesuatu yang baru dan menimba benda baru. Sebelum ini family aku sudah bertandang ke Johor dan Pekan untuk membantu mangsa banjir, kini giliran aku pula ke Padang untuk membantu mangsa Indonesia.

Kepada sahabat2 dan pengunjung blog ini, bantulah saudara seagama kita dengan apa yang termampu. Dermakanlah sedikit harta untuk mereka dan doakan agar mereka diteguhkan akidah di sana.

InsyaAllah aku akan berada di sana dari 8hb-15hb, dan aku akan ceritakan pengalamanku sekembalinya ke tanahair nanti. Buat sahabat2ku dan mereka yang mengenaliku, ampunkan segala salah silapku, dan doakan semoga segalanya berjalan lancar. Kita berjumpa sekembalinya aku dari Padang kelak.

Wassalam.

Assalamualaikum pembuka bicara, semoga kalian berada di bawah payung rahmatNya.

Alhamdulillah, akhirnya pulang juga aku ke bumi Malaysia. First impression aku tentang Malaysia ialah, Malaysia dah makin panas, panas dari segi iklimnya dan juga dari segi pakaian penduduknya.

Alhamdulillah, sepanjang 3 tahun aku merantau di bumi orang, banyak perubahan yang buatkan aku bersyukur apabila menatap rumput hijau bumi Malaysia.

Alhamdulillah, masyarakat dah banyak berubah,yang baik jadi makin baik, yang buruk jadi makin fasad. Kita start dengan kebaikan dahulu. Alhamdulillah, di masjid tempat aku, orang ramai sudah ada sedikit manhaj dalam beribadah. Kalau dulu banyak benda warisan nenek moyang kita, sekarang ini dah sikit dah. Pendedahana dan kerja orang2 sunnah kita aku dahului dengan terima kasih. Terima kasih buat sang pejuang yang berjuang, dan buat yang mencetus perubahan hasil dari kesedaran sendiri yang akhirnya merebak kepada masyarakat. Itu peranan orang agama, mencetak manusia ke arah yang lebih baik, walaupun mencetak kitab agama lebih mudah dari mencetak manusia.

Kekadang isu agama dan cetusan idea tajdid seorang agamawan menjadikan penganut dan mereka yang yakin dengan agama rasa ‘curious’ dengan agama dan seterusnya mencari kebenaran dalam beragama. Alhamdulillah, satu tajdid yang sangat bagus.

Jumaat lalu, sewaktu sedang bersolat Jumaat berimamkan ayahandaku, masjid mengadakan solat hajat untuk ‘birthday’ Sultan Pahang. Berlaku satu kejadian yang pelik bagi aku. Bayangkan masjid yang melimpah jemaahnya tadi jadi xsampai dua saf ketika solat hajat untuk Sultan. Xsangka persepsi rakyat Pahang berubah pada raja. Aku rasa orang Pahang sayang raja, sebab tu Pahang kubu kuat. Mungkin angin dari utara timur bakal berkunjung kemari. Kuantan dan Indera Mahkota sudah disinggahnya.

Aku baru abis kuarantin kat rumah selama seminggu. InsyaAllah akan belajar memandu. Alhamdulillah, dapat PC baru dan insyaAllah kereta mini selepas habis belajar memandu.

Capaian internet di Malaysia agak menyedihkan terutama di tempat aku. Maaf pada pengunjung setia andai blog ini tidak terupdate lebih dari dua minggu.

Wassalam. Jom jalan2 cari sunnah kat Malaysia.

Assalamualaikum wbt..

Alhamdulillah, perjalanan dipermudahkanNya, selepas 7 jam lebih berada di awanan, akhirnya sampai di bumi Abu Dhabi.

Sedang menunggu panggilan flight ke-2, yang akan mendarat ke tanahair tercinta. Doakan semoga semuanya berjalan lancar.

Fikri-Aimi-Rasyad-Syafiq-FaizRahimi
Wassalam

Kenangan di Maghribi

Assalamualaikum wbt.

Ini ialah entri peribadi dan mungkin entri kedua last atau last sekali ditulis di Maghribi. Alhamdulillah, sijil asli sudah keluar dan segala urusan sudah selesai. Sekarang pun sedang relax di rumah. InsyaAllah saya akan balik ke Malaysia pada 19 Oktober ini  selepas 3 tahun meninggalkan Malaysia. Sedih yang teramat untuk meninggalkan Maghribi ini. Alang-alang sebelum balik, maka saya akan ceritakan sedikit tentang Maghribi dan pembelajarannya.

Maghribi Bumi Barat Islam.

~ما دمت في المغرب فلا تستغرب~

Kingdom Of Morocco atau Al-Mamlakah Al-Maghribiyyah terletak di Afrika Utara yang berkapasiti 32 milion orang penduduk dan terletak di bawah Sepanyol dan salah satu tempat sejarah2 Islam. Penduduknya terdiri dari bangsa Barbar, bangsa Arab dan beberapa bangsa lain.

Negara “pintu masuk Eropah” ini juga dipanggil Al-Maghribi al- Aqsa pernah menjadi sebahagian wilayah Islam sejak zaman Umayyah sehingga ke pemerintahan Al-Muwahhid, Al-Murabitin, Dinasti Idrissi dan Bani Marin  dan sekarang oleh Dinasti Alawi. Dakwah Islam bermula dengan pembukaan Al-Gharb al-Islamy oleh Uqbah bin Nafi dan diteruskan oleh Tariq bin Ziyad membuka Andalus di utaranya.

Oleh kerana Maghribi terdapat kesan sejarah Islam dan tempat untuk mempelajari pelbagai bahasa seperti Inggeris, Itali, Perancis dan sebagainya, maka kerajaan Malaysia menghantar pelajar ke sini. Jika berminat, anda boleh menyambung pelajaran di sini selepas SPM, melalui 3 tahun belajar intensif yang sukar peringkat ijazah dalam kos  Pengajian Islam Am dan Bahasa Arab di beberapa daerah di Maghribi seperti Marakesh, Casablanca, Rabat, Fes dan sebagainya. Dan terdapat juga kos Usuluddin di Universiti Qurawiyyin di Tetouan, Maghribi.

Kuota pelajar baru untuk Maghribi hanya 15 orang sahaja dan layak untuk mendapat biasiswa penuh tajaan UNESCO di bawah UN. Tetapi kebanyakan pelajar datang di bawah yayasan negeri dan terdapat sebahagian kecil pelajar perseorangan. Kos hidup di “negara 4 musim” ini agak tinggi walaupun 1 ringgit Malaysia bersamaan MAD 2.26 atau dirham Maghribi.

Ulama di Maghribi  seperti Dr. Raisuni, Dr. Rugi, Dr. Faruq Hamadah dan zawiyah tinggalan Al-Ghumari dan Bukhubzah di utara Maghribi. Terdapat markas Qiraat di Marakesh dan sekolah2 hadis. Di sini, penduduk Maghribi bermazhab Maliki dan mereka membaca Al-Quran dengan bacaan Warash. Maghribi juga tempat bagi mereka yang berminat pengajian Maqasid. Terdapat pelajaran luar tidak rasmi di kebanyakan tempat di Maghribi dan anda boleh menghabiskan musim panas anda menimba ilmu di madrasah dalam kebun.

Di Maghribi, pelajar Malaysia berkumpul dan bersatu di bawah satu persatuan pelajar sahaja yang dipanggil Persatuan Mahasiswa Malaysia di Maghribi(PMMM) yang bernaung di bawah Persatuan Rakyat Malaysia di Maghribi(PRM). Tiada web khusus bagi persatuan tapi pelajar Maghribi mempunyai forum mereka  yang dikenali Diyalna .Ini sahaja beberapa maklumat yang dapat saya kongsikan bersama pembaca.

InsyaAllah, saya akan kongsikan beberapa gambar rawak dari semua kenangan yang ada. Wassalam.

Senior2 yang dah balik

Ustaz Ataau, Syahrul, Azrul, Sobri, abg Afiq ngn abg Asyraf

Rais Syu'bah dan Dr. Faruq Hamadah

Rais Syu'bah dan Dr. Faruq Hamadah

Kenangan melayan blues bersama di pantai Temara

Kenangan melayan blues bersama di pantai Temara

Rehlah Ilmu bersama kawan Arab di Empangan Moulay Abdullah

Rehlah Ilmu bersama kawan Arab di Empangan Moulay Abdullah

Ikram(Yaman), Fikri(Maghribi), Azzad(UK), dan Syeikh(Syria)

Ikram(Yaman), Fikri(Maghribi), Azzad(UK), dan Syeikh(Syria)

Jaga Kaunter Pendidikan

Jaga Kaunter Pendidikan

PMMM dulu, kini dan selamanya.

PMMM dulu, kini dan selamanya.

Main Salji dengan kawan2 di Oukeimiden

Main Salji dengan kawan2 di Oukeimiden

~Ini Malaysia kedua bagiku, tempat kesungguhan dan impian dalam hidupku~

Assalamualaikum wbt.

Mungkin pembaca tertanya-tanya mengapa tajuk posting saya hari ini agak lain dari biasa. Biasanya posting blog ini tidak lari dari berkisarkan remaja dan pemuda sahaja, tetapi kali ini berkisarkan tentang mslimah. Sudahkah kalian membaca Utusan Melayu, atau paling bagus membaca Harakah dan blog-blog pilihan anda.

Lihat di sini dan di sini.

Jika anda prihatin tentang ISA dan mangs ketidakadilannya, anda akan mengenali siapa dia Norlaila Othman dan Mat Sah Satray. Alhamdulillah, kini Mat Sah sudah bebas dari Kamunting dan tercapailah nilai erti sebuah perjuangan bagi isterinya.

Siapa yang tidak kenal Norlaila yang gigih berjuang melalui blognya, memperkenalkan manusia satu mergastua tentang sebuah akta yang zalim bernama ISA. Bahkan beliau sanggup ke Geneva untuk memansuhkan akta zalim tersebut.

Ini bukti sebuah cinta yang suci dan perjuangan seorang muslimah selepas berkahwin. Jika dulu kita dengar bagaimana beraninya Nailah Al-Farafishah mempertahankan suaminya dari dibunuh pemberontak, hari ini kita dapat lihat kegembiraan seorang isteri berkat perjuangannya membebaskan suaminya dari ISA selama 7 tahun lamanya.

Ini hanya sebuah contoh kecil tentang perjuangan seorang muslimah. Banyak lagi contoh lain yang dapat kita ambil buat cerita untuk saudari-saudari kita yang me’murah’kan nilai mereka di jalanan sana.Lihat saja contoh-contoh yang ada;

1. Dr Jemilah Mahmood – seorang doktor pakar O&G yang sekian lama membidankan bayi-bayi yang baru hendak menjengah sinar dunia. Dia mengasaskan & memimpin MERCY yang menyelamatkan & mengurangkan sengsara ribuan manusia seluruh dunia.

2. Dr. Lo’ Lo’, YB Zuraida, YB Fuziah, Datin Wan Azizah & YB Nurul Izzah – ahli politik wanita yang disegani dan vocal dalam mengetengahkan isu masyakat terutamanya wanita & keluarga sama ada di dewan Parlimen atau di mana sahaja. Perjuangan mereka telahpun dimaklumi hatta sebelum mereka menyertai pilihanraya.

3. Puan Norlina Alawi – mengasaskan PERNIM untuk menjaga anak-anak HIV. Bukan dosa mereka untuk mendapat HIV seterusnya menjadi anak-anak terbuang.

Ini jawapan bagi tajuk di atas, dan contoh realiti dan solusi bagi muslimah yang buntu tentang nasib mereka selepas berkahwin kelak. Tidak ramai muslimah yang dapat menjadi contoh-contoh seperti di atas, kebanyakannya berjuang ketika bujang sahaja tetapi diam menyepi apabila berkahwin dan beranak-pinak.

Secara ringkas, dapat kita simpulkan perjuangan seorang Muslimah akhirnya terletak pada penerimaan & keterbukaan suaminya kelak.

Samaada Muslimah berjuang di ruang rumah semata ataupun keluar ke lapangan masyarakat, kedua-duanya ada kelebihan tersendiri. Walaupun norma orang kita berkata, perempuan seeloknya ke dapur sahaja, namun kita tidak boleh sewenang-wenangnya meremehkan Muslimah berada di gelanggang luar berbanding di rumah.

Walaupun Muslimah yang berjuang di luar ini kebanyakannya mempunyai kurang anak & masa bersama anak berbanding suri rumah sepenuh masa, tapi itu bukanlah kayu ukur yang boleh dipakai. Kerana sumbangan mereka membantu, mendidik & memberi harapan hidup kepada anak-anak manusia lain di seluruh dunia amat besar impaknya.

Andai si Muslimah tersebut mempunyai bakat yang lebih memberi manfaat kepada Ummah secara lebih luas di luar, maka mengapa ‘kurung’nya di dapur sahaja?

Keputusan seterusnya terletak pada kehebatan si Muslimah untuk mengadaptasi dirinya dalam pelbagai keadaan dan keterbukaan  sang suami.

Allah SWT telah menyebutkan perkara ini dalam kitabnya yang mulia,

Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan RasulNya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.(At-Taubah 71).

Kenapa tak digunakan sepenuhnya manfaat hidup dalam dunia ‘ maklumat di hujung jari’ ini. Lihat sahaja Norlaila, Ummu Saif dan sebagainya yang sudah terkehadapan.

Lihatlah bila kepercayaan sang suami digunakan sepenuhnya untuk jalan dakwah dan kelembutan sseorang isteri memadamkan duri-duri perjalanan dakwah suaminya, maka masing-masing ada peranannya untuk ‘bekerja’ dalam bidang dakwah ini.

Dan ini peranan seorang muslimah,

1) Sebagai hamba Allah (peranan wanita sebagai guru, jurutera, doktor jatuh dalam bidang ini, berharakah, berdakwah dan sebagainya dilihat dalam aspek ini yang menjadi kewajipannya)

2) sebagai isteri (tanggungjawab wanita untuk mendapatkan suami yang baik, peranannya sebagai isteri yang solehah dan sekitarnya)

3) sebagai Ibu (peranan wanita sebagai ibu dan madrasah bagi anak-anaknya)

Sepatutnya fokus muslimah ialah bagaimana mereka mampu mencapai kecemerlangan dalam 3 perkara itu.

Akhirnya, sebelum pena ini berhenti menulis, saya akan sertakan beberapa blog muslimah untuk perkongsian dan manfaat bersama.

Ketua Muslimat PAS, AJK Penerangan Muslimat PAS, AJK PeneranganMuslimat, Dr. LoLo dan ramai lagi.

Teringat pepatah sindiran member2 dahulu – Lelaki yang hebat, ada perempuan di belakangnya. Wassalam.

3 tahun bersama, Seabad Terasa

Berdiri - Hafiz(Mohammedia), Khairuddin. Duduk - Mustaqim, Al-Amin, alimmujahid

Assalamualaikum wbt…

Para pengunjung yang dihormati,

InsyaAllah entri kali ini berkisarkan tentang “Eid” atau dalam bahasa ibunda kita “Hari Raya. Selamat membaca.

Hari Raya dan Sunnahnya.

Sinonim bagi Hari Raya ialah Hari Perayaan, Hari Lebaran, atau Hari Ulang Tahun dan makna yang sewaktu dengannya.

عاد – يعود membawa maksud kembali atau sesuatu yang berulang. Disebut “Eid ” kerana kita sentiasa mengulanginya saban tahun.

Ibnul Arabi dalam Lisanul Arabnya(3/319) berkata,

Dinamakan “eid” kerana setiap tahun ia berulang kembali dengan kegembiraan yang baru.

Rasul SAW bersabda,

Aku datang kepada kamu sedangkan kamu memiliki dua hari yang kamu bersenang-senang pada hari tersebut, dan Allah telah menggantikan untuk kamu dua hari yang lebih baik dari kedua hari kamu itu, iaitu Hari Raya  korban dan Aidil Fitri.(Ahmad 3/103,178 dan 235. Abu Daud 1134. An-Nasaie 3/179)

Selepas sebulan berpuasa menahan nafsu dan lapar dan menghidupkan malamnya, maka datanglah hari raya sebagai tanda kegembiraan, berehat dari keletihan beribadah, dan berhibur dengan sederhana.

Disunatkan mandi di pagi raya sebagaimana riwayat Ali r.a,

Abdullah bin Umar sentiasa mandi pada Hari Raya Aidil Fitri sebelum ke musalla.( Pendapat Alqamah, Abu Zinad, Malik, Syafie(Al-Mughni 2/370)

Disunatkan juga berpakaian bersih dan kemas serta berhias dengan sederhana. Ibnu Qudamah rahimahullah berkata,

Kebiasaan berhias di pagi raya adalah perkara yang masyhur.(Al-Mughni 2/228)

Ibnul Qayyim rahimahullah menjelaskan,

Nabi memakai pakaian yang cantik pada hari raya Aidil Fitri dan hari raya korban. Baginda memiliki perhiasan yang dipakai pada hari raya dan setiap hari jumaat. Ada kalanya baginda memakai dua burdah( baju luar)  berwarna hijau atau merah, bukan merah keseluruhannya, bukan merah garang sebgaimana yang disangka sebahagian manusia, kerana jika sedemikian bukan dinamakan burdah. Tetapi yang baginda pakai kain yang ada garis2 merah seperti kain bergaris dari kain Yaman(Zaadul Maad 1/441).

Imam Malik rahimahullah berkata,

Aku mendengar ulama menganggap sunnah untuk memakai wangi-wangian dan berhias pada setiap hari Raya.(Al-Mughni 2/228).

Bagi muslimah pula tidak boleh untuk berhias melampau( tabarruj), mendedahkan aurat dan berwangian semasa keluar dari rumah, juga syarak melarang pergaulan bebas dan percampuran antara lelaki dan perempuan yang bukan mahramnya.

Besederhana dalam semua perkara.

Sebaik-baik perkara itu pada pertengahannya.

Seeloknya berhari raya dengan besederhana dan janganlah membazir. Firman Allah SWT,

Dan berikanlah kepada kerabatmu, dan orang miskin serta orang musafir akan haknya masing-masing; dan janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan boros yang melampau. Sesungguhnya orang-orang yang boros itu adalah saudara-saudara Syaitan, sedang Syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.(Al-Isra 26-27).

Tujuan berhari raya ialah beribadah dengan menzahirkan syiar-syiar Islam, merapatkan tali silaturrahim dan bergembira dengan sederhana, bukan membazir dan bermaksiat dengan Allah. Nauzubillahi minzalik.

Ucapan Hari Raya.

Ucapan selamat hari raya dari hadis sahih ialah,

Taqabbalallahuminna wa minkum – Semoga Allah menerima dari kami dan dari kamu.(Fathul Bari 2/446)

Imam Qudamah rahimahullah berkata,

Muhammad bin Ziyad berkata: Aku pernah bersama Umamah Al-Bahali dan selainnya dari kalangan sahabat nabi. Mereka kembali dari solat hari raya dan berkata sebahagian dari mereka kepada sebahagian yang lain,

تقبل الله منا و منكم

Semoga Allah menerima dari kami dan dari kamu.(Al-Mughni 2/295)

Disunatkan makan sebelum bersolat hari raya.Dari Buraidah r.a berkata,

Nabi SAW tidak keluar di Aidil Fitri sehingga beliau makan, dan pada hari korban beliau tidak makan sehingga kembali dari solatnya, dan baginda makan dari sembelihannya.(Bukhari 953. Tirmizi 543. Ibnu Majah 1754. Ahmad 3/126, 164 dan 232.)

Solat Hari Raya ialah fardhu ain. Ini merupakan pendapat Imam Abu Hanifah(Hasyiah Ibnu Abidin 2/166),Imam Syafie dan pendapat dari mazhab Imam Ahmad(Majmu’ Fatawa 23/161).

Berhari rayalah dengan sederhana dan penuh ibadah dan sunnah. Janganlah meninggalkan sunnah dan berlebihan dalam berhari raya. Banyakkan menziarahi sanak saudara dan memohon kemaafan antara satu sama lain. Rapatkan tali silaturrahim dan saling menjamu antara sebahagian lain digalakkan.

Di kesempatan ini, Alim Mujahid memohon seribu kemaafan atas semua salah silap samada secara zahir atau batin. Alim Mujahid juga mengucapkan

Selamat Hari Raya Aidil Fitri. Maaf Zahir Batin.

تقبل الله منا و منكم

Post Mortem Ramadhan.

Sesungguhnya puasa berkait rapat dengan tarbiyah jiwa seorang mukmin dan muslim.

Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.(Al-Baqarah 183).

Dan inilah objektif puasa( kredit kepada Ustaz Nasruddin Tantawi)

1. Puasa mendidik jiwa untuk takut kepada Allah swt. dalam keadaan sembunyi atau terbuka . Lantaran tiada siapa yang memantau atau memerhati orang yang berpuasa melainkan Allah swt. ( Seseorang boleh makan lalu berpura – pura lapar dihadapan manusia tetapi tidak dihadapan Allah swt. Justeru Allah swt adalah Tuhan yang Maha Mengetahui .)

2. Mengekang keterlanjuran syahwah dan meringankan pengaruh serta penguasaannya. ( lantaran puasa melemahkan gelora nafsu .)

3. Mencetus naluri yang peka ( sensitive ) dan bersifat belas simpati terhadap insan yang lain . ( Lapar sewaktu berpuasa adalah mengingatkan kita kepada mereka yang miskin dan tidak bernasib baik )

4. Ibadah puasa memahamkan kita pengertian persamaan kedudukan taraf orang – orang kaya dan miskin .( di sisi Allah swt.)

5. Meletakkan kehidupan Insan dan pengurusannya di atas system ( yang benar dan menepati fitrah ) dan mendisiplinkannya.

6. Memulihkan struktur dalaman tubuh , menguatkan kesihatan dan membebaskan jasad dari sebarang unsur yang memudharatkan jasad

(Doktor Wahbah az Zuhaili dalam Tafsir AL-Munir 2/130)

Akhirnya, tanyalah pada diri kita, di samping berpuasa dan mengkhatamkan Al-Quran dalam bulan Ramadhan, serta berakhlak dalam bulan Ramadhan,

-Adakah diri kita keluar dari madrasah Ramadhan ini seperti manusia yang suci bersih dari dosa dan lebih baik dari sebelumnya.?

-Adakah akhlak dan kebaikan kita akan kekal pada bulan Ramadhan sahaja tidak pada bulan2 lain.?

Inilah Ramadhan. Madrasah Akhlak kami. Madrasah Tarbiyyah Ruhiyyah Kami. Kami cintakannya dan sentiasa rindu untuk bersamanya.

Tahniahlah kepada Graduan Madrasah Ramadhan yang keluar darinya dengan sebenar-benar penghayatan.

Semoga Allah merahmati kita dan menerima amalan kita. Wassalam.

Pagi tadi sewaktu menerokai alam maya tanpa sempadan dari hujung jari, saya terjumpa sebuah artikel yang menarik minat saya, mungkin sebagai jawapan atau bantuan bagi soalan yang terbayang di minda saya, memikirkan apa yang patut saya buat bila kaki ini melangkah bumi hijau Malaysia dan menghirup segenap masalah yang mendiaminya.

SAYANGI DAN HORMATI MAD’U DAN JANGAN MALUKAN ORANG

Kami menghormati dan tidak pernah memandang rendah kepada mana-mana peserta kursus, walaupun kadang-kadang kami diberi info oleh HR bahawa si fulan, tahap masalahnya ialah menyepak bini andaikata dia dapati bininya sembahyang! Kami tak pernah beri muka sacarstic kepada peserta walaupun HR kata ada seorang peserta kursus kali ini kerjanya memuja busut jantan untuk dapat nombor ekor. Kami tidak meletakkan sebarang persepsi atau expectation tertentu terhadap mad’u.

Tanggapan sebegini bukan dibuat-buat. Ia harus datang dari akal dan jiwa yang menyetujuinya. Saya berikan perumpamaan, ketika anak kita yang berumur tiga tahun tertumpah kopi di atas seperah, kita boleh sabar dan tidak marah. Kenapa jika orang dewasa melakukannya kita marah? Sebabnya, tiada sebarang persepsi, piawaian atau standard yang kita letakkan kepada seorang budak yang naif tak mengerti apa. Berbeza dengan orang dewasa yang kita sudah tahu kebolehan dan upayanya. Maka inilah yang kami pegang dalam soal dakwah. Pada kami, amat ramai pelaku dosa yang hidupnya sengsara kerana mereka masih kanak-kanak dalam soal mengenal Tujuan Hidup. Mereka naif, mereka sukar mencari jawapan, maka jangan dimarah mereka itu, malah hulurkan tangan untuk membantu.

Semua yang datang ke kursus kami, dianggap sebagai tetamu yang menerima jemputan Allah ke daerah kebaikan. Pada TADBIR manusia memanglah kami merancang kursus bersama HR. Tetapi pertemuan kami dengan peserta adalah TAQDIR Allah. Jika Allah yang jemput mereka ke ‘majlis-Nya’, maka jangan sekali-kali kita yang juga sekadar hamba-Nya mahu memperlekehkan sesiapa. Allah dengan sifat Maha Kasih dan Maha Pemurahnya, tidak memilih dalam soal memberi keperluan hajat manusia. Allah sudi mengampun manusia yang jutawan dosa, maka siapa kita untuk membina kasta di dalam dakwah? Ingatlah kata bijak pandai dalam hal ini, Hate the sin but not the sinner”. Dalam isu ini kaedahnya mudah sahaja. People don’t care how much you know until they know how much you care! Oleh itu, kata kunci saya di sini ialah SAYANGI DAN HORMATI MAD’U SERTA JANGAN MALUKAN MEREKA.

JANGAN MENEKAN, BERIKAN TENANG, BERIKAN RUANG

Kami tidak pernah memberi sebarang tekanan, sama ada dalam bentuk perkataan, sindirian, cebik-cebik muka atau arahan berbau bossy di tempat yang kita bukan bos, atau pushing di tempat kita nak pulling. Semua peserta mesti dibenarkan untuk berfikir dengan tenang. Jangan guna hailer untuk herdik mereka bangun subuh, malah yakinkan supaya mereka optimis untuk solat Subuh berjamaah di awal waktu. Tak perlu dimarah-marah jika lewat sampai ke dewan, cukup sekadar sedarkan yang mereka telah mengambil masa rakan. Golden rule: jangan buat perkara yang kita tidak suka orang buat ke atas kita.

Seterusnya jangan diguris perasaan mereka kerana terluka jiwa akan membawa kepada terbinanya tembok antara kita dan mereka. Gunakan kaedah yang pelbagai untuk sampai kepada tujuan yang sama. Kurangkan guna istilah BID’AH, banyakkan guna TIDAK MENEPATI SUNNAH. Hindarkan kalimah BODOH, biasakan menyebut TIDAK PANDAI. Guna juga reverse psychology di kebanyakan tempat yang ramai Melayu kerana itu tabiat mereka. Di dalam kursus, kami tidak pernah menegur peserta yang tidak menutup aurat. Cuma jika agak keterlaluan pakaiannya, kami anjurkan agar si dia memakai pakaian yang SELESA LAGI MENYELESAKAN. Syukur, lazimnya jika tidak terus bertudung, ramai juga yang pada hari kedua mencari selendang. Malah memang pernah ada yang mengambil keputusan untuk bertudung sebelum kursus tamat, semata-mata sebab ‘kami tak pernah sebut walau sekali pun tentang kewajipan menutup aurat’ dalam kursus tu. Lantas mereka tidak malu dan segan untuk membuat keputusan. Apa yang kami lakukan hanyalah dengan menyedarkan siapa dia di depan Allah, dengan sendirinya rasa malu kepada Allah mendorong dirinya untuk bertudung. Bukan kerana kami, tetapi kerana malu diperhatikan Allah. Oleh itu, kata kunci saya di sini ialah JANGAN MENEKAN, BERIKAN TENANG, BERIKAN RUANG. UBAH PENDIRIAN, FIKRAH DAN FAHAM DAKWAH, MESTILAH SECARA INSIDE OUT

Ada peserta yang kata, “saya harap kawan-kawan saya dapat ikut kursus ni. Saya nak share apa yang saya dapat dari kursus ni dengan mereka. Mereka berhak tahu…”.

Tidakkah ini sebenarnya telah menunjukkan yang peserta itu dalam keadaan tudung senget benget dan keluar tengkuk, sudah secara sukarela menerima konsep kewajipan dakwah? Untuk memahamkan masyarakat tentang kewajipan dakwah, bukanlah suatu yang mudah. Memang semua orang boleh mudah terima jika al-Quran menyebut tentang kewajipan Solat. Jika mereka enggan Solat sekali pun, mereka masih rasa ayat tersebut ada kena mengena dengan mereka. Soal mereka.

Namun, apabila al-Quran bercakap tentang kewajipan dakwah, lazimnya manusia akan senget muka. Dakwah? Apa kena mengenanya dengan aku? Aku tak suka kacau hal orang. Macam-macam lagi reaksi spontan. Mungkin ramai yang rasa kalimah dakwah itu terujuk kepada lebai-lebai yang mengajak keluar 3 hari, atau ustaz-ustaz yang bersyarah di atas kerusi, atau mungkin juga tudung dan nasyid yang dikaitkan sebagai uniform dakwah dan lagu dakwah. Itulah persepsi biasa terhadap dakwah.

Kenapakah sukar bagi kita mengajak orang untuk sama-sama berdakwah? Sebabnya ialah, kita gunakan pendekatan outside in. Atas alasan ’sentiasa mengutamakan al-Quran dan al-Sunnah’ kita lambakkan nas naqli tentang kewajipan dakwah sebanyak mungkin, supaya akan rasa berdosa dan jahat jika masih tidak mahu berdakwah sama. Walaupun syukur memang ada yang akhirnya bertekad untuk bersama, tetapi ramai juga yang hatinya berkata, “ye la, dah Allah suruh, Nabi suruh, takkan nak lawan!”

Namun pendekatan kami di dalam kursus adalah sebaliknya. Kami cuba sedarkan peserta bahawa erti hidup ini ialah pada memberi, dan bukannya menerima.

Siapakah yang lebih gembira, ayah yang berjaya membawa pulang kereta mainan idaman anaknya, atau si anak yang menerima pemberian bapa? Tentunya yang lebih gembira di saat itu ialah bapa. Bapa memberi, anak menerima. Menerima melahirkan senang, tetapi memberi menghasilkan tenang. Orang yang sakit jiwa bukan orang yang kurang menerima, tetapi orang yang bakhil memberi. Kenapa itu semua? Sebabnya mudah. Memberi itu fitrah kita. Kita ini kan hamba Allah. Kita slave, bukannya servant. Seorang hamba tidak berhak mengungkit-ungkit tentang apa yang dia terima. Malah sentiasa sedar yang tugasnya adalah memberi mengikut kemahuan tuannya; juga kemahuan Tuhannya.

Sifat kehambaan hanya datang selepas kita perkenalkan Allah kembali kepada mereka, agar terserlah Allah itu Tuhan dan mereka adalah hamba. Manusia yang lupa dirinya hamba, akan banyak bercakap soal hak, compensation dan pendapatan. Jika ini mentaliti pendakwah, memang tiada masa untuk berdakwah sebab dakwah itu solid memberi, tanpa menerima.

Namun, selepas terbit rasa kehambaan kepada Allah, maka dengan sendirinya, secara inside out, mereka mahu memberi kebaikan dan berkongsinya dengan kawan-kawan. Mereka terasa apa yang mereka dapat itu sangat berharga. Lantas sifat hamba, mendorong mereka untuk memanjangkan kebaikan itu dengan memberinya kepada orang lain. Tanpa disedari, mereka sudahkan mengorak langkah di arena kewajipan berdakwah. Kata kunci saya di sini, UBAH PENDIRIAN, FIKRAH DAN FAHAM DAKWAH, MESTILAH SECARA INSIDE OUT.

KESIMPULAN

Inilah di antara perkara yang sempat saya catatkan supaya empat perkara di atas dapat difikirkan bersama. Adakah dakwah kita selama ini mengambil peduli soal BAB 1 yang saya sebutkan tadi?

Saya amat bersetuju dengan pendapat guru saya, Puan Ainon Mohd , ketika dia mengajar saya KJ Method beberapa minggu yang lalu. Padanya, pemikiran secara linear, seperti di dalam Matematik adalah tidak fitrah. Ia adalah corak pemikiran ciptaan manusia. Allah menciptakan manusia dengan akal fikiran yang mampu berfikir pelbagai perkara di dalam satu masa. Pelbagai subjek yang tiada kena mengena antara satu sama lain, tetapi tersusun dan boleh difahami belaka.

Malah ayat-ayat al-Quran juga tidak turun secara linear. Ini adalah asas kepada KJ Method. Dan pada saya ini juga asas dalam dakwah. Kita boleh sampaikan manusia kepada matlamat Islam daripada pelbagai permulaan dan jalan kerana fitrahnya begitu.

Marilah kreatif dalam berdakwah. Jangan konservatif sangat, itu kan tidak fitrah. Kalau tidak fitrah, memang susah untuk perkasa. FITRAH PERKASA !

Kredit untuk Ustaz Hasrizal

Bacaan tambahan lain.

Dialog Gen-Y: Antara Iman dan Kufur

Izinkan Pertanyaan

Bagaimana Untuk Saya Pulang ke Rumah?

Krisis Pendidikan Seks Dalam Budaya Kelucahan Jantina

Kredit untuk Ustaz Hasrizal

Cara Menjadi Mad’u Yang Baik

Menjelang ramadhan setiap kita berusaha meningkatkan pembersihan jiwanya. Mendekatkan diri kepada Allah. Mengakui sesuatu yang benar itu benar sekalipun ia menyanggahi kepentingan dan kehendak diri kita. Mengakui yang salah itu salah, sekalipun kita sudah terbabit dengan yang salah tersebut.

Ini bukan sesuatu yang mudah, ia memerlukan kekentalan jiwa yang dibina di atas niat yang ikhlas dalam perjuangan hidup di atas muka bumi ini. Hidup yang berteraskan keyakinan bahawa setiap kita akan mengadap Allah s.w.t, dan Dia menghisab segala amalan baik dan buruk yang telah kita lakukan.

Perjalanan hidup insan sebenarnya mewakili apa yang tersirat dalam jantung hati, atau niatnya. Perbuatan yang dilakukan dengan rela dan pilihan sendiri adalah tafsiran kepada niat, kefahaman dan tujuan hidup seseorang insan. Tidak lebih daripada itu. Bahkan apa yang dirancang, keinginan, harapan yang akhirnya menjelma dalam bentuk tindakan, berpunca dari niat.

Justeru dalam hadis daripada Umar bin al-Khattab r.a, beliau berkata: Rasulullah s.a.w bersabda:

“Sesungguhnya setiap amalan itu hanya dengan niat. Dan sesungguhnya setiap orang hanya mendapat balasan mengikut apa yang diniatkan. Sesiapa yang berhijrah untuk mencari duniawi atau untuk mendapatkan wanita yang ingin dikahwini, maka (pahala) hijrahnya itu mengikut niatnya.” (Riwayat al-Bukhari).

Salah Faham

Sebelum kita tersilap faham, niat bukanlah seperti yang dibayangkan oleh sesetengah pihak iaitu ucapan di lidah “sengaja aku berniat sekian dan sekian..”. Sama sekali tidak. Itu hanyalah ucapan lidah, belum tentu mewakili tujuan sebenar. Niat juga bukan perkataan yang di atur dalam minda yang menyebab ramai orang yang tidak faham berulang kali kononnya melafazkan ‘niat’, sehingga terganggu solat, puasa, iktikaf dan seumpamanya.

Niat adalah keazaman seseorangan untuk melakukan sesuatu tindakan. Dalamnya merangkumi segala yang tersirat di sebalik sesuatu perbuatan. Tepat bak kata tokoh ilmuwan terkenal al-Hafiz Ibn Qayyim al-Jauziyyah (meninggal 751H):

“Niat ialah tujuan dan azam melakukan sesuatu. Tempatnya di hati. Tiada kaitan dengan lidah sama sekali. Justeru itu, tidak pernah diriwayatkan daripada Nabi s.a.w dan para sahabat sebarang lafaz bagi niat. Tidak pernah kita dengar hal ini dari mereka. Segala lafaz yang diada-adakan sebelum bersuci dan solat telah syaitan jadikannya medan memerangi golongan yang was-was. Syaitan memenjara dan mengazab mereka dengannya. Dia menjadikan mereka berusaha membetulkan lafaz-lafaz itu, sehingga anda lihat ada yang mengulang-ulang dan berhempas pulas dalam mengucapkannya. Padahal ia langsung tiada kaitan dengan solat. Sebaliknya niat itu ialah tujuan sesuatu perbuatan. Setiap yang berazam melakukan sesuatu, dia telah berniat. Tidak tergambar terpisahnya perbuatan dengan niat kerana perbuatan itu adalah hakikat niat. Tidak mungkin tiada niat sedangkan wujudnya perbuatan. Sesiapa yang duduk untuk berwuduk maka dia telah berniat hendak berwuduk. Sesiapa yang berdiri untuk bersolat maka dia telah berniat untuk bersolat. Tiada seorang yang berakal melakukan sesuatu ibadah atau selainnya tanpa niat. Niat merupakan perkara semestinya wujud bagi tindakan insan yang disengajakan. Tidak perlu bersusah payah dan berusaha mendapatkannya. Sekiranya seseorang ingin menghilangkan niat dari perbuatan pilihannya, nescaya dia tidak mampu. Jika Allah mewajibkan solat atau wuduk tanpa niat, maka Dia mewajibkan apa yang insan tidak mampu. Ia tidak termasuk di bawah keupayaan insan. Kalau begitu, mengapa bersusah payah untuk mendapatkan niat?. Sesungguhnya syak dalam memperolehi niat adalah sejenis penyakit gila. Sebab, pengetahuan seseorang tentang keadaan dirinya adalah sesuatu yang yakin. Bagaimana mungkin seorang yang berakal syak tentang niat dirinya. Seseorang yang berdiri belakang imam untuk menunaikan solat zohor; bagaimana mungkin dia syak mengenai tujuannya?! Jika seseorang memanggilnya untuk sesuatu urusan ketika itu, nescaya dia berkata: aku ada urusan, aku ingin solat zohor. Jika seseorang bertanya kepadanya ketika dia keluar menuju ke tempat solat: awak hendak ke mana? Nescaya dia berkata: aku hendak solat zohor bersama imam. Jadi, bagaimana mungkin seorang yang berakal ragu-ragu mengenai hal ini dalam dirinya sedangkan dia mengetahuinya secara yakin” (Ibn Qayyim, Ighathah al-Lahfan min Masaid al-Syaitan, halaman 144).


- Gambar Hiasan

Dr Yusuf al-Qaradawi pula menyebut:

Niat ini adalah amalan hati semata. Bukan amalan lidah. Tidak diketahui daripada Nabi s.a.w., tidak juga dari para sahabah dan para tabi’in yang mengikut mereka dengan baik -yang merupakan salaf umat ini- sebarang lafaz bagi niat ibadat, seperti solat, puasa, mandi, berwuduk dan seumpamanya, apa yang kita lihat sebahagian manusia bersungguh-sungguh melakukannya, seperti mereka menyebut: Aku berniat mengangkat hadas kecil, atau besar, atau solat zohor, atau asar empat rakaat kerana Allah Yang Maha Besar, atau aku berniat puasa esok hari pada bulan ramadan dan sebagainya. Ini semua tidak dibawa (diajar) oleh sebarang ayat al-Quran atau Sunnah. Tidak ada faedah baginya, di mana seorang insan tidak akan berkata ketika hendak ke pasar: aku niat hendak ke pasar. Atau ketika dia hendak bermusafir: Aku niat bermusafir. Al-Zarkasyi dalam fatwa-fatwanya memetik perkataan al-Ghazali: “Urusan niat dalam ibadah itu mudah, namun apa yang menyusahkan ialah disebabkan kejahilan dengan hakikat niat atau (disebabkan) was-was” (http//:qaradawi.net).

Salah Niat

Penegasan niat sering kita sebutkan apabila hendak solat, puasa, zakat, haji dan ibadah-ibadah khusus yang lain. Malangnya, itu pun dengan konsep yang ‘silap’ seperti yang dijelaskan oleh dua tokoh ilmuwan di atas. Sehingga ada yang mempersendakan konsep niat dengan membuat ungkapan-ungkapan yang kononnya mewakili niat, walaupun ada maksud tersirat yang lain.

Berapa banyak operasi kewangan yang menggunakan nama ‘Islam’ dengan berbagai lafaz ketika akad, tetapi maksud yang tersirat berbeza dengan lafaz di lidah. Maka berbagai keuntungan yang sebahagiannya mempunyai unsur penindasan dan kesamaran dibuat atas nama Islam dengan kata-kata yang indah, walaupun niat sebenar amat berbeza. Sebabnya? Orang kita faham niat itu bermaksud lafaz.


- Gambar Hiasan

Maka niat atau hasratlah yang tersirat di sebalik setiap tindakan. Kita diperintahkan untuk mengikhlas niat kerana Allah dalam ibadah. Membetulkan tujuan setiap tindakan. Inilah yang menjadi antara tujuan utama pendidikan Ramadan. Justeru itu Nabi s.a.w menyebut dalam hadis qudsi:

“Semua amalan anak Adam untuknya, melainkan puasa. Ianya untukKu dan hanya Aku yang membalasnya” (Riwayat al-Bukhari).

Puasa adalah manifestasi keikhlasan yang ada dalam jiwa. Tiada siapa yang boleh tahu seseorang benar-benar puasa atau menipu melainkan Allah. Puasa bukan pergerakan jasad yang boleh dilihat, tetapi pengawalan dalaman diri yang hanya diketahui oleh Allah.

Jika ruh puasa dibawa dalam kehidupan, maka pasti banyak masalah umat Islam hari ini dapat diselesaikan. Umat kita hari ini fakir dan miskin ‘niat yang ikhlas’ dalam banyak keadaan. Walaupun niat tidak dapat kita lihat, namun sebahagian besar tindakan dan perbuatan insan mampu memberikan tanda atau menafsirkan niat yang tersirat.

Kita kemarau keikhlasan dalam ilmu, pergaulan, persaudaraan, politik, muamalat dan berbagai cabang kehidupan. Inilah krisis kita. Setiap kita, termasuklah yang menduduki tempat yang penting dalam masyarakat menyimpan niat yang berbagai. Politik umpamanya, sepatutnya setiap individu yang terlibat dalamnya, mengikhlaskan niat kerana Allah, dengan itu maka semua tindakannya dipastikan memenuhi tuntutan keperluan umat dan rakyat.

Namun, apabila ahli-ahli politik muslim menempatkan niat yang lain, maka tujuan politik yang sepatutnya menuju kepada kepentingan umat dan rakyat bertukar menjadi agenda parti atau peribadi yang akhirnya menyusahkan rakyat. Demikian juga urusan agama, sepatutnya ilmu Islam itu membimbing manusia memahami kehendak al-Quran dan Sunnah, tapi telah dijadikan agenda peribadi untuk mengaut untung, atau perniagaan, atau kuasa atau seumpamanya, akhir agama menjadi alat pencapai matlamat peribadi dan kumpulan. Maka, politik tidak mengenai tujuan, urusan agama pun tidak mencapai matlamat.

Hari ini kita melihat banyak pihak yang seruannya indah, bahkan sebahagian menggunakan nama Islam, tetapi jalan dan tindakannya amat berbeza dengan ajaran Islam. Apa sebabnya? Semuanya kerana niat. Slogan memang cantik, ramai yang boleh buat dan ada-adakan, namun niat siapa yang tahu?

Kredit untuk Dr. MAZA
~Ilmu Allah itu luas dan bermanfaat pada mereka yang tidak menyempitkannya. Lihatlah dan bacalah semua penulisan tanpa mengira siapa penulisnya dan nilailah dengan manhaj dan ilmu yang ada. Beruntunglah mereka yang meletakkan alim ulama itu sama taraf (tidak cenderung dan taasub pada seseorang) dan tidak memusuhi tanpa ilmu serta dengki dalam mencari ilmu.~Kalamku.
***

Isu Kartika

Beberapa pendapat tentang arak dan hukum peminum arak. Mari kita tambah bacaan di sini,

Ust. Yusof Embong

Ust. Nasaruddin Tantawi

Dr. MAZA

Aku melihat lemahnya sistem Islam di Malaysia yang menuntut seribu pengorbanan untuk ditegakkan di tanah tumpah darahku.

Aku juga berharap agar golongan sunnah di Malaysia cakna dan cepat memberi respons dalam menangani segala isu di Malaysia.

***

Sedikit maklumat tentang aku.

Aku sudah tamat pengajian dan akan balik ke Malaysia. Ini Ramadhan yang terakhir di Morocco. Pelbagai perasaan menyelubungi diriku.Setiap masa, setiap ketika.Bercampur baur!.

Sedih, kerana aku akan tinggalkan bumi ini. Gembira, kerana akan berjumpa keluarga yang dirindui. Bimbang, cukupkah ilmu aku untuk menghadapi mergastua masyarakat dunia.Aku akan jumpa PAS, JIM, Haluan dan sebagainya. Tiba masa pula untuk terjun dalam laut karenah masyarakat yang terkenal masin- pahitnya, samada aku mampu untuk terus harunginya atau tidak, kita tengok nanti. Khair InsyaAllah.

Aku sudah melepasi marhalah belajar, berbekalkan sedikit manhaj dan ilmu, perananku dan tanggungjawabku terhadap masyarakat sudah tiba. Tapi dalam masa yang sama, ilmu WAJIB aku tuntut sampai nafasku terakhir.

A – Kau minta aku update blog ini. Ternyata kau merindui penulisanku. Terima kasih :D .

All – Lupakan foot note dalam post terakhir aku. Kata seorang senior, ” Kau tak boleh bercuti dalam menulis, sewaktu ramai yang mengharapkan sesuatu dari aku.

Akhlak mulia antara sifat alami atau usaha..

Akhlak merupakan sebuah tabiat atau ketetapan yang asli, akhlak mulia juga mampu dicapai dengan jalan usaha. Maksudnya manusia mampu menjadi baik dan berakhlak mulia dengan usahanya sendiri, bukan menyerahkan nasibnya pada takdir semata-mata.

Nabi SAW berkata kepada Asyajj Abdul Qais:

قال له النبي صلى الله عليه و سلم : إن فيك لخلتين يحبهما الله الحلم والأناة

“ Sesungguhnya dalam dirimu ada dua sifat yang Allah sukai; sifat sopan santun dan tidak tergesa-gesa.

قال : يا رسول الله أنا أتخلق بهما أم الله جبلني عليهما ؟

Dia berkata : Wahai Rasul Allah, adakah  kedua sifat itu merupakan hasil usahaku, atau Allah yang telah menetapkan keduanya kepadaku?

فقال له النبي صلى الله عليه و سلم : بل الله جبلك عليهما

Nabi SAW menjawab ; “ Bahkan Allah yang mengurniakan keduanya kepada kamu.

فقال : الحمد لله الذي جبلني على خلقين يحبهما الله ورسوله

Kemudian dia berkata ; “ Segala puji bagi Allah yang mengurniakan aku dua akhlak yang dicintai oleh Allah dan Rasulnya.

[Hadis Abu Daud 5525 Kitab Al-Adab, Ahmad 4/206, Muslim 25 dan 26 Kitab Al-Iman, Imam Tirmizi 2011 Kitab Al-Birr Wa As-Silah]

Hadis ini menunjukkan akhlak terpuji dan mulia merupakan sesuatu yang alami atau nikmat yang Allah kurniakan buat manusia dan juga merupakan sesuatu yang boleh dicapai. Dan akhlak yang lebih baik dapat dicapai dengan usaha .

Siapakah yang lebih utama, seseorang yang Allah kurniakan kepadanya akhlak terpuji atau seseorang yang berusaha bersungguh-sungguh untuk memperolehi akhlak mulia tersebut? Yang mana paling baik antara kedua hamba tersebut?.

Jawapannya sudah semestilah mereka yang dikurniakan Allah akhlak yang mulia itu lebih baik kerana dia lebih mudah untuk menghadirkan akhlak mulia dalam kehidupan dirinya.

Manakala yang bakinya, seorang yang berusaha bersungguh melawan hawa nafsunya dan melatih dirinya untuk menjadi seseorang yang lebih baik. Dan dia mendapat pahala atas usahanya melawan hawa nafsu dan berpindah ke arah yang lebih baik. Tetapi dari segi kesempurnaan akhlak, sudah pastilah hamba yang pertama tadi lebih baik.

Adapun seseorang yang dikurniakan Allah akhlak yang lebih baik dan berusaha untuk menjadi lebih baik akhlaknya, maka dia adalah yang terbaik.[ Al-Fawaid oleh Ibnu Qayyim m/s 210 dan 211].

Dari pernyataan di atas, seseorang yang berada dalam keadaan di atas, mereka berada di antara 4 golongan;

1. Mereka yang terhalang untuk berakhlak mulia samada secara alami dan melalui jalan usaha.

2.Mereka yang tidak dikurniakan Allah akhlak yang mulia, tetapi berusaha untuk mendapatkannya dengan jalan usaha.

3. Mereka yang dikurniakan akhlak yang baik dan berusaha untuk menjadi lebih baik akhlaknya.

4. Mereka yang ada akhlak yang baik, tetapi tidak berusaha untuk memperbaikinya.

Para pembaca blog yang dihormati,

- Daripada 4 golongan di atas, di manakah anda?

Kesempurnaan Syariat Islam ditinjau dari sisi akhlaknya.

Sesungguhnya Nabi Muhammad SAW diutuskan kepada kita untuk menyempurnakan akhlak yang mulia.

عن أبي هريرة رضي الله عنه قال قال رسول الله صلى الله عليه و سلم : إنما بعثت لأتمم مكارم الأخلاق.

Dari Abu Hurairah r.a. berkata, Nabi SAW bersabda : Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak.

[Ahmad dalam Musnadnya [ 2/381], Hakim dalam Mustadraknya [2,613], Bukhari dalam Sahihnya Kitab Adabul Mufrad [No. 273], Baihaqi [10/192], Imam Haithami dalam Majmu3 Az-awaid [ 9/15]. Disahihkan oleh Al-Albani dalam As-Silsilah As-Sahihah [No. 45]. ]

Sesungguhnya ajaran Nabi-nabi terdahulu untuk membaiki akhlak manusia dan mengajak menyembah pencipta yang satu. Dan ajaran Nabi Muhammad SAW menyempurnakannya.

Cara Memperolehi Akhlak yang mulia.

1. Beristiqamah dalam beramal dan mempraktikkan apa yang terkandung di dalam Al-Quran dan Sunnah Rasul Allah SAW.

Sesungguhnya mengubati jiwa dan memperolehi akhlak bukan dicapai dengan cara sendiri, tetapi dengan merujuk dan kembali kepada Al-Quran dan As-Sunnah. Sessungguhnya Allah menciptakan manusia dengan akal untuk membezakan di antara kebaikan dan keburukan, tetapi dengan petunjuk dari Allah dengan perantaraan Rasulnya. Seolah-olah ubat itu dari Allah dan para RasulNya yang memberi panduan tentang penggunaan ubat tersebut.

Rasul adalah doktor bagi hati, tidak ada jalan untuk membersihkan hati dan memperbaikinya kecuali dengan petunjuknya, serta sifat tunduk dan patuh dan meminta pertolongan kepada Allah.

2. Bersahabat dengan sahabat yang berakhlak mulia.

Untuk mendapatkan akhlak yang mulia, sudah semestinya melalui sahabat yang berakhlak mulia. Sahabat yang berakhlak mulia ibarat sebuah sekolah yang mana kita menimba akhlak yang mulia darinya.

عَنْ أَبِي مُوسَى عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِنَّمَا مَثَلُ الْجَلِيسِ الصَّالِحِ وَالْجَلِيسِ السَّوْءِ كَحَامِلِ الْمِسْكِ وَنَافِخِ الْكِيرِ فَحَامِلُ الْمِسْكِ إِمَّا أَنْ يُحْذِيَكَ وَإِمَّا أَنْ تَبْتَاعَ مِنْهُ وَإِمَّا أَنْ تَجِدَ مِنْهُ رِيحًا طَيِّبَةً وَنَافِخُ الْكِيرِ إِمَّا أَنْ يُحْرِقَ ثِيَابَكَ وَإِمَّا أَنْ تَجِدَ رِيحًا خَبِيثَةً.

Dari Abu Musa, Nabi SAW bersabda “ Perumpamaan sahabat yang baik dan buruk akhlaknya seperti seorang penjual minyak wangi dan seorang tukang besi.Adapun penjual minyak wangi, kekadang ia menawarkan minyak wangi untukmu, kekadang ia member minyak wangi untukmu, dan kekadang kamu mendapat bau wangi darinya. Adapun penjual besi, jika ia tidak membakar pakaianmu, kamu akan mendapat bau yang tidak elok darinya.”

[Bukhari [ No. 2101], Muslim [ No. 146]]

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ الرَّجُلُ عَلَى دِينِ خَلِيلِهِ فَلْيَنْظُرْ أَحَدُكُمْ مَنْ يُخَالِلُ.

Dari Abu Hurairah r.a., Nabi SAW bersabda :  Seseorang itu dengan agama sahabatnya, maka hendaklah kalian melihat orang yang akan kalian bersahabat.

[Hadis Hasan Sahih oleh Tirmizi [No. 2378], Abu Daud [No. 4833], Ahmad dalam Musnadnya [2/303 dan 334], dihasankan oleh Albani dalam kitab Sahih Jami’ As-Saghir [ No. 3545] dan Silsilah Hadis As-Sahihah [ No. 927].

3. Memerhatikan akibat yang buruk dari akhlak yang tercela.

Manusia diciptakan dengan akal untuk membezakan perkara baik dan buruk. Dan mereka yang berakhlak buruk akan ditinggalkan dan dikenali dengan perbuatannya dan percakapannya. Maka apabila kita menjumpai akhlak yang buruk, maka segeralah meninggalkannya.

4. Mengambil contoh dari akhlak Nabi SAW.

Sesungguhnya Rasul Allah itu contoh ikutan yang paling baik bagi seorang Muslim. Maka, sewajarnya kita mencontohi setiap akhlak dan adab Rasul SAW.

Allah SWT berfirman:

وَإِنَّكَ لَعَلى خُلُقٍ عَظِيمٍ (Al-Qalam 4)

“Dan engkau (Muhammad) memiliki budi pekerti yang agung!”(Al-Qalam 4)

Akhir kalam, saya menyeru diri saya dan para pembaca untuk bersama-sama membaiki akhlak dan beristiqamah dalam melawan hawa nafsu. Semoga Allah membantu kita dalam menasihati sesama kita dan mengislah diri kita ke arah kebaikan.

Wassalam.

Moga madrasah Ramadhan ini berjaya mengeluarkan kita daripadanya menjadi insan yang lebih baik dari sebelumnya.

Ini ialah artikel terakhir saya kerana saya akan berehat menulis dalam Ramadhan. Kita berjumpa semula selepas raya.

Marhaban Ramadhan

Inilah madrasah ruhiyah kami. Inilah madrasah Ramadhan kami.

Suka untuk saya mengajak para pembaca untuk membaca tentang puasa di sini. Saya bukan cenderung kepada beberapa pihak, tetapi manhaj saya ialah berdasarkan dalil dan tidak memusuhi mana2 pihak.

Jadi saya pilih beberapa artikel puasa untuk semua. Selamat membaca dan mendapat manfaat serta menjalani puasa dengan penuh sunnah.

Baca di sini.

Puasa tidak boleh berpisah dari dalil sunnah.

Kemudian baca ini

Adab Berbuka Puasa Menurut Sunnah.

kredit kepada Dr. Maza

Selamat menjalani ibadah puasa dari Alim Mujahid. Alim mujahid juga memohon ribuan maaf kepada pengunjung andai terdapat kesilapan dan kesalahan sepanjang penulisannya. Semoga Allah merahmati kita dalam bulan yang berkat ini.

Sedikit manual tarbiah untuk sahabat2 semua semasa di bulan Ramadhan.

1. Bangun awal sebelum subuh, kalo boleh solat sunat sebelum sahur, kemudian sahur, baca Al-Quran sambil menunggu subuh dan seboleh2nya menghabiskan satu juzuk selepas subuh. Paling kurang pun, habiskan satu juzuk untuk satu hari.

2. Berpuasa dengan sepenuhnya seperti menjaga pandangan, menjaga pendengaran, percakapan dari perkara yang sia2. Selalulah membaca Al-Quran dan berzikir.

3. Ketika berbuka, berbukalah dengan sederhana. Jangan membazir dengan membeli makanan yang banyak untuk keperluan berbuka. Seeloknya disedekahkan kepada fakir miskin. Jangan makan banyak sewaktu berbuka kerana dikhuatiri akan jadi malas untuk beribadat.

4. Beribadatlah dengan sederhana dan beristiqamah. Biar sedikit tetapi berterusan, lebih baik dari ibadat yang banyak tetapi tidak berterusan. Yang penting ikhlas dan jangan meanunjuk2.

5.Jangan lupa untuk solat witir dan solat sunat lain. Jangan tinggalkan sahur kerana ada keberkatan di dalamnya.

Allahumma innaka 3afuwwun karim, tu hibbu al-3afwa wa 3fu3anna.

اللهم إنك عفو كريم تحب العفو فاعف عنا

Ya Allah, sesunnguhnya Kau Maha Pengampun lagi Maha Mulia, suka mengampunkan, maka ampunkanlah kami.

Older Posts »